01 April 2009

"Macam mana ni?" ketua rumah bersuara perlahan.

"Imah pun tak ada idea la kak. Imah pasti dia dengar apa yang terjadi tadi," balas Halimah.

Masing-masing melayan perasaan. Penat menangani hal Salina juga. Halimah sememangnya berkongsi bilik dengan ketua rumah Casa Indah. Mereka bukan sekadar berkongsi bilik, tetapi juga sebarang isu ahli mahupun Casa Indah sendiri.

"Nampak gayanya kena approach one by one lah. Kesian Imah, akak tak daya nak buat seorang diri."

"Ala kak, Imah tolong mana terdaya je. Kak lagi kesian, dia cuma mahu cerita dengan kak aje. Sanggup tunggu masa yang sesuai untuk beritahu. Imah simpati juga dengan dia. Tapi apa boleh buat, dia susah nak percaya pada orang. Yang penting sekarang kita kena kawal pembawakan Salina tu."

"Betul. Setiap orang dalam rumah ni ada cerita masing-masing. Akak rasa hal Salina mudah nak selesai. Mujur tak jadi apa-apa."

"Salina tu pun satu. Sendiri cari bala."

"Kita pun silap juga, Imah. Tentang habis-habisan hubungan dia dengan Azam tu. Asyik bagi tekanan pada dia sampai sekarang tak beritahu langsung keluar jumpa Azam. Eh, selalunya Salina beritahu dia. Apa terjadi antara mereka?"

"Imah rasa dia tak tahu juga. Ingat-ingat Imah lah, semalam Salina tu masih bising fasal Azam tak hubungi. Salina kecoh satu rumah hal dia angin dengan Azam, kak. Masa hujung minggu lepas."

"Hmmm.. baik. Akak rasa akak tahu apa yang perlu dilakukan. Minta-minta lah dia boleh urus perasaannya. Tak sempat nak borak dengan dia tadi. Macam ni lah, dia dan Salina akak uruskan. Yang lain-lain tu minta Imah cakap ya."

"Baik. Imah tidur dulu lah. Mengantuk. Penat."

Mulut Halimah kumat-kamit membaca tiga qul serta doa sebelum tidur. Kemudian dia terus merebahkan diri atas tilam yang terbentang.

Ketua rumah masih belum melelapkan mata. Fikirannya menerawang jauh memikirkan hal penghuni rumah dan juga aktivitinya saban hari. Casa Indah kadang-kadang tidak seindah namanya. Tetapi dia amat menghargai kebanyakan masa yang indah di sini.

0 pendapat: