Salina mengamuk hebat. Dia pula diam tidak berkutik di ruang peribadinya. Rakan-rakan yang lain sibuk menenangkan Salina. Rupa Salina teruk sekali. Dia sempat mengintai di balik tingkap di tingkat atas.
Salina pulang menaiki teksi. Tudungnya entah ke mana. Rambutnya mengerbang. Suara dia mengongoi kuat sekali. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, pemandu teksi menekan hon. Salina belum bayar tambang. Entah siapa keluar bayarkan tambang. Mereka mengerumuni Salina sedang dia menjauhkan diri. Bayangan itu datang lagi.
Di ruang tamu bawah, Salina masih belum dapat ditenangkan. Dia pasti Salina keluar bertemu Azam. Salina biasanya tidak memaklumkan pada mereka aktiviti bertemu Azam.
"Assalamu'alaikum." suara ketua rumah kedengaran seiring dengan bukaan pintu. Ketua rumah tidak ada rupanya sebentar tadi.
"Akaaaaaaaaakkkkkkkkk!" jerit Salina sambil meluru kepada ketua rumah.
Ketua rumah Casa Indah yang disayangi semua dan paling rapat dengan Salina sebenarnya. Dia mengeluh lega. Wibawa ketua rumah tidak dapat disangkal. Walaupun masalah tidak akan segera selesai, sekurang-kurangnya mereka dapat bernafas.
Beberapa ketika, Salina meraung lagi.
"Azam jahat! Sanggup dia buat aku begini," rintih Salina.
"Apa yang Azam buat ni?" terdengar suara ketua rumah bertanya.
"Dia ambil kesempatan. Dia minta aku serah diri selepas buat aku asyik dengan janji-janjinya. Aku hanyut! Bila aku tidak setuju, dia memaksa. Tudungku dicabutnya!" cerita Salina dalam sendu.
Dia menutup telinga. Lelaki memang kejam! Tidak beragama! Tidak ingin lagi mendengar kisah Salina. Sudah dapat menjangka perkara seterusnya yang berlaku.
'Salina, kau tidak boleh kalah!' bisiknya untuk Salina dalam hati.
30 Mac 2009
curahan RaSa at 12:05 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 pendapat:
Catat Ulasan