07 Oktober 2008

Hari minggu.

Sebelum Subuh lagi dia sudah bangun. Mandi dan berwuduk untuk menyendiri sebelum rakan-rakan serumahnya yang lain bangkit. Ingin dilepaskan bebanan perasaan yang tidak mampu dikongsi dengan mana-mana teman mahupun insan terdekat.

Telekung dikenakan. Sejadah dihamparkan menghala ke kiblat. Al-Quran diletakkan atas rak berdekatan. Segalanya siap, dia berdiri lalu mengangkat takbir. Sunat tahajud dikerjakan. Sepuluh ayat terakhir dari surah Ali Imran sentiasa menjadi pilihannya sebagai ayat untuk dibaca selepas Al-Fatihah.

Sungguh dia belum mampu menjadi hamba yang sentiasa mengingati Allah pada setiap keadaan. Air matanya mengalir. 'Mengapalah aku hanya berpaling di waktu susah?' soalnya pada diri sendiri. Dia malu mengingatkan Allah datang seribu langkah apabila hambaNya dekatiNya selangkah.

Selepas salam, dia sujud semula. Dia sedar, Allah mendengar rintihan hambaNya dalam apa jua bahasa dan keadaan. Malah, Allah menjawab setiap bicara hambaNya. Hanya manusia tidak mendengar. Apa lagi permintaan... hanya lambat atau cepat manusia mendapat hasilnya. Tetapi, sering terjadi manusia lupa apa yang diminta.

Dia mengadu padaNya dalam sujud. Menyebut satu persatu dosa dan minta pengampunan. Menyuarakan permasalahannya dan minta diberi petunjuk. Dia juga bercerita. Bercerita dengan Pencipta tidak sama bercerita dengan manusia. Kerana dia tahu, komunikasinya dengan Pencipta bukan komunikasi sehala. Lebih mudah kerana Pencipta mengetahui segala-galanya. Tiada rahsia. Siapa lagi yang lebih hebat untuk kepercayaan begini kalau tidak Allah?

Hampir subuh, dia bangun dan mengangkat takbir lagi. Ingin ditutup aktiviti malamnya dengan sunat witir sebanyak tiga rakaat dua salam. Usai witir, dicapainya Al-Quran, dibuka dan dibaca dengan suara sederhana agar tidak mengganggu teman-teman. Bila azan berkumandang, segera dia kejutkan seluruh isi rumah.

0 pendapat: