Hujung minggu berlabuh lagi. Waktu ini sahaja lah penghuni Casa Indah dapat meluangkan masa bersama. Pagi-pagi selepas Subuh sudah keluar jogging mengelilingi kawasan perumahan. Kali ini tidak ada yang sengaja tidak mahu menyertai aktiviti. Sememangnya tidak ada dalam peraturan rumah pun.
Dalam perjalanan pulang, mereka berlima singgah membeli kuih muih untuk sarapan pagi. Gerai Mak Andak berdekatan lorong menuju Casa Indah memang kegemaran mereka. Selalunya mereka sukakan nasi lemak. Hari ini mereka menukar selera. Rancangnya mahu segera masak untuk tengahari bila lelah jogging reda nanti.
Tiba di rumah, Halimah menuju ke dapur. Dia paling suka bancuh air. Kemudian dihidangkan di ruang tamu bersama kuih yang dibeli tadi. Selesai makan, masing-masing sambung bersantai sambil bersembang. Ketua rumah sahaja bergegas bangun ke bilik mandi. Mahu bersihkan diri.
"Lina, kau macam mana?" Latifah tiba-tiba membuka cerita.
"Macam mana? Macam mana apa?" Salina menyoal balas.
"Kes hari tu.." Latifah ingatkan peristiwa beberapa malam lalu.
Salina mengubah kedudukan menghadap tepat pada Latifah. Yang lain juga mahu tahu tetapi menonjolkan sikap endah tak endah.
"Aku.." Salina kehilangan kata mahu meneruskan perbualan.
"Kalau tak mahu cerita, tak payah cerita," sampuk Nani.
"Bukan macam tu. Aku belum tenang sepenuhnya. Bukan senang, Nani," sahut Salina. Halimah segera mendekati dan memaut bahu Salina.
"Tak apa Lina. Kau ambillah masa. Tapi ada baiknya kau kongsi. Aku, Ipah, Nani, Kak Lis semua nak tolong. Tak mahu sekarang pun tak apa. Bila-bila pun boleh," ucap Halimah.
"Aku malu dengan korang. Bukan main bising marahkan Azam, sekali aku keluar dengan dia. Pulak tu, balik bawa masalah." Salina sudah emosional. Baik Imah, Ipah mahupun Nani diam menunggu sambungan bicara Salina.
"Dia datang pujuk aku. Lima belas minit sebelum waktu pejabat habis dia muncul depan meja aku. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba sahaja muncul. Habis waktu pejabat, aku ikut dia. Dia janji macam-macam. Aku terbuai hingga tidak sedar apa yang berlaku," Salina mula teresak-esak. Masih tidak ada yang bersuara. Membiarkan Salina bercerita.
"Aku hanya sedar bila dia eratkan pelukan. Tapi aku tidak segera berkeras sebab aku tahu, ia akan memburukkan keadaan. Bila dah tak boleh lepaskan diri, aku lawan dan berjaya lepaskan diri. Tapi dia sudah mula menggila, dia ugut aku. Aku keluar kereta dan lari. Dia kejar dan sempat tarik tudung aku sampai tercabut. Aku tak berhenti berlari hingga aku dapati Azam dah tak kejar aku. Kemudian aku tahan teksi dan balik," Salina diam sejenak.
"Aku rasa teruk sebab waktu itu aku rasa seronok diperlakukan begitu. Wajah korang muncul satu persatu yang menyedarkan aku.." luah Salina, masih berlinangan air mata.
"Alhamdulillah," ucap Nani secara spontan.
Sunyi menghinggapi ruang.
"Buang la perasaan tu. Allah yang izinkan peristiwa tu berlaku. Sebagai peringatan. Jangan sampai berlaku kali kedua. Kalau rasa teruk, macam mana dengan penghuni rumah Solehah? Raudhatus Sakinah? Diorang lagi teruk. Allah sayangkan engkau, dia tak izinkan yang lebih buruk berlaku. Peristiwa ni tak ada orang lain yang tahu melainkan kau pergi bercerita. Kitorang sentiasa ada untuk sokong kau dan bantu lupakan peristiwa tu," Latifah bersuara.
Salina bangun memeluk Latifah. Kemudian diikuti Imah dan Nani. Tidak jauh dari mereka, ketua rumah menyeka airmata. Terharu menyaksikan sesi spontan yang berlaku. 'Aku tahu kau mampu,' bisik suara hatinya ditujukan untuk dia.
05 April 2009
curahan RaSa at 12:21 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 pendapat:
Catat Ulasan