27 Ogos 2008

Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipi. Sudah beberapa ketika dia berteleku di situ. Keinginan menatap alam akhirnya tercapai jua. Dia ingin melupakan kota yang didiaminya sejak dua tahun lalu seketika.

Kota yang penuh cerita. Kota yang tidak pernah sunyi dari bunyi. Kota yang sentiasa bermandi cahaya. Penghuninya seolah tiada waktu tidur. Bekerja tidak mengenal waktu. Penat bekerja, pusat hiburan dituju. Kediaman sekadar dijadikan tempat hinggap.

Kehijauan alam menghiasi pemandangan. Desiran angin, kicauan burung serta aliran air menghinggapi pendengaran. Dongak sedikit ke langit, kelihatan kawanan burung terbang bebas di angkasa. Maha Suci Allah berulang kali terucap dibibir. Kagumnya dia dengan penciptaan langit dan bumi juga seluruh makhluk yang menghuninya.

Terasa gatal di betis, terus diselak kaki seluar. Ada pacat di situ. Terjerit sang teman yang menyaksikan. Dia tidak gelabah. Segera dia petik daun berdekatan. Dengan lafaz bismillah, dicabutnya pacat dari labu betisnya lalu merenung pacat tersebut. Kamu juga ada fungsi pada bumi ini, cik pac; desis hatinya.

Bila temannya sekali lagi menjerit, terus dicampak pacat tadi ke dalam belukar bersama daun yang digunakan.

Kasut ditanggalkan. Stokin juga. Kaki seluar dilipat hingga paras lutut. Dia ingin merendamkan kakinya ke dalam sungai sambil bersantai di atas batu. Ingin merasai kesejukan air. Mahu mandi, dia tidak bercadang untuk berada lebih lama di situ. Dia paling gemar merendamkan kaki sambil berfikir.

0 pendapat: